AAB BAREEK, Afghanistan- Mangsa yang terselamat dalam kejadian
tanah runtuh yang
mengorbankan lebih 300 nyawa di utara negara ini
berkabung hari ini, ketika pasukan perubatan bergegas untuk menyalurkan
bantuan kepada lebih 700 buah keluarga yang kehilangan tempat tinggal
ekoran bencana itu.
Presiden Hamid Karzai, hari ini mengisytiharkan hari berkabung di
seluruh negara, sambil melahirkan rasa simpati dan takziah kepada ahli
keluarga mangsa.
Menurut Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan
(UNAMA), anggotanya kini sudah berada di tempat kejadian bersama-sama
Persatuan Bulan Sabit Merah dan beberapa kumpulan bantuan lain.
“Fokus kami adalah untuk membantu kira-kira 700 buah keluarga yang
tidak mempunyai tempat perlindungan, sama ada yang terlibat secara
langsung atau tidak dalam kejadian tanah runtuh itu," lapor UNAMA,
sambil menambah lebih banyak bantuan air, perubatan, makanan dan pusat
perlindungan kecemasan diperlukan.
Pegawai kerajaan melaporkan, setakat ini kira-kira 300 orang disahkan
terkorban, namun bilangan tersebut mungkin akan meningkat, selepas
laporan awal menyatakan hampir 2,500 penduduk kampung maut.
“Kami mempunyai senarai nama 300 orang yang terkorban.
“Kami tidak dapat meneruskan operasi mencari dan menyelamat kerana
rumah-rumah terbabit sudah ditenggelami lumpur setinggi beberapa meter.
Kami akan menjadikan kawasan ini sebagai tapak perkuburan mereka," kata
Gabenor Badakhshan, Shah Waliullah Adeeb, semalam.
Orang ramai dilihat berkumpul di lokasi kejadian yang menyaksikan
lumpur tebal menutupi keseluruhan rumah dan harapan untuk menyaksikan
mereka yang terselamat semakin kabur.
Hanya beberapa mayat berjaya dibawa keluar daripada runtuh tersebut,
walaupun penduduk tempatan dan anggota penyelamat cuba mencari mangsa,
namun tidak berhasil. - AFP
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !