ALHAMDULILLAH sekali lagi dapat bersua dalam ruangan artikel tafsir
kali ini, penulis sengaja
membincangkan isu yang global pada kali ini
iaitu sifat Umat yang terbaik mengikut neraca al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah
sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana)
kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada
segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman
kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (Ali-Imran: 110)
Dinyatakan tafsiran para ulama berkenaan ayat ini:
Syeikh Syarawi berkata: Kebaikan ini mempunyai sifat-sifat dan
unsurnya seperti amar makruf, nahi mungkar dan beriman dengan Allah SWT.
Jika kurang salah satu daripada unsur ini, nescaya tercabutlah
kebaikan."
Syeikh al-Sabuni berkata: Ini merupakan pernyataan tentang wajah
kebaikan seolah-olah dikatakan sebab pada kebaikanmu berbanding dengan
umat lain dengan adanya segala sifat terpuji ini."
Ibnu Kathir menaqalkan pandangan Saidina Umar yang berkata: Siapa
yang suka menjadi umat yang terpilih ini, maka hendaklah ia menunaikan
syariat Allah padanya."
Al-Maghari berkata: Daripada huraian di atas pasti diketahui bahawa
tanggungjawab menyuruh melakukan perbuatan baik dan mencegah kemungkaran
merupakan medium yang membawa mereka ke arah kemuliaan.
Berdasarkan ayat di atas jelas menunjukkan penekanan kepada amar makruf dan nahi mungkar, di samping beriman dengan Allah SWT.
Penulis menutup perbincangan ini dengan sebuah hadis daripada Abu
Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hendaklah
kamu laksanakan amar makruf dan nahi mungkar atau kamu dikalahkan oleh
pemerintah yang zalim lagi jahat ketika itu orang soleh dalam kalangan
kamu berdoa tetapi tidak dimustajabkannya." (riwayat Ahmad (23312)
al-Tabrani (1739) dalam Mujam al-Awsat)
Hadis ini dengan tegas menggambarkan ancaman daripada Baginda SAW
kepada umat Islam agar melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar,
sebaliknya apabila berlaku pengabaian, maka lahirnya pemerintah yang
tidak bermoral dan berakhlak. Ketika itu, sekalipun golongan soleh
berdoa, nescaya tidak dimakbulkannya.
Betapa pentingnya pelaksanaan tersebut, apabila diabaikan maka satu
ancaman tegas daripada Allah, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
Allah SWT berfirman kepada hamba-Nya pada hari kiamat yang bermaksud:
Apakah yang menghalangmu daripada mengubah yang mungkar di dunia,
apabila engkau melihatnya dengan merasa benci? Kemudian Allah mengajar
hamba-Nya dengan hujah dan menjawab: Hai Tuhanku! Aku mengharapkan-Mu
tetapi aku takut kepada manusia. (riwayat al-Humaidi dalam musnadnya)



0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !