Headlines News :
Home » » Rumah Orang-orang Tua Tidak Lagi Dibina Dalam RMK-11 - Rohani

Rumah Orang-orang Tua Tidak Lagi Dibina Dalam RMK-11 - Rohani

Written By Warta Utara on Wednesday, May 7, 2014 | 9:13 PM

KANGAR,  (Bernama) -- Rumah Orang-Orang Tua tidak lagi akan dibina dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) sebaliknya lebih banyak Pusat Aktiviti Warga Emas akan dibina, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata peruntukan bagi membina Rumah Orang-Orang Tua tidak akan dimasukkan dalam belanjawan.

"Keputusan ini dibuat bertujuan mengggalakan anak-anak mengambil tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa mereka yang telah tua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Perlis di Bangunan Persekutuan di sini Isnin.

Beliau berkata kini sembilan pusat jagaan warga emas kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat telah penuh dan hanya akan mengutamakan penempatan warga emas yang tidak mempunyai anak atau saudara mara sahaja.

Sebanyak 23 lagi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) akan dibina tahun ini menjadikan 46 buah di seluruh negara, katanya.

PAWE menyediakan kemudahan kepada warga emas menjalani latihan aktiviti terutama yang tinggal bersendrian semasa anggota keluarga atau penjaga tiada di rumah atau keluar bekerja.

Sementara itu Rohani berkata sempena sambutan Hari Ibu pada 10 Mei ini, kementeriannya akan meminta jabatan kerajaan supaya menyediakan peluang untuk kakitangan mereka meluahkan perasaan kasih sayang terhadap ibu bapa mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebanyak RM9 juta diperuntukkan tahun ini bagi pembelian bra khas kepada kira-kira 8,000 orang pengidap kanser payu dara setelah payu dara mereka dibuang.

"Bantuan pembelian bara khas ini untuk membantu mereka meningkatkan keyakinan dan memulihkan semangat akibat trauma setelah kehilangan payu dara," katanya.

Dalam ucapannya, beliau berkata penubuhan Pusat Keluarga adalah selaras dengan strategi Dasar Keluarga Negara untuk menyedia dan memastikan program, perkhidmatan dan kemudahan mesra keluarga mudah diakses dan dicapai oleh rakyat.

Katanya Pusat Keluarga LPPKN Perlis antara lain menyediakan perkhidmatan berkaitan pendidikan, kekeluargaan, khidmat kesihatan reproduktif, kaunseling, dan terapi.

Turut hadir pada majlis permasian itu Menteri Besar Azlan Man, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) kementerian, Datuk Harjeet Singh a/l Hardev Singh dan Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Dr Siti Norlasiah Ismail.



-- BERNAMA
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online