Headlines News :
Home » » Perjelaskan status tanah – Rahmad

Perjelaskan status tanah – Rahmad

Written By Warta Utara on Thursday, January 29, 2015 | 8:08 PM

PULAU PINANG 29 Jan. - Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menjelaskan keluasan sebenar kawasan pertanian dan tanah bukit di luar zon pembangunan di negeri ini yang diluluskan Jawatankuasa Perancangan Negeri (SPC) melalui permohonan pengezonan semula. Rahmad Isahak
Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, perkara itu penting bagi membolehkan penduduk negeri ini menilai sendiri status tanah yang sudah dilepaskan kerajaan negeri kepada pemaju bagi tujuan projek komersial.

Dalam masa sama tambah beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang juga didesak mengumumkan jumlah unit rumah mampu milik yang bakal dibina di tanah yang dizonkan semula itu seperti ditetapkan menerusi syarat pembangunan semula.

“Paling mustahak kita mahu kerajaan negeri menjawab bagaimana tanah di luar zon pembangunan boleh diluluskan sesuka hati bagi tujuan pembangunan dan adakah perkara itu menguntungkan golongan rakyat miskin?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNPP), Datuk Zainal Abidin Osman mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan kebimbangan penduduk di negeri ini berhubung kehilangan lebih banyak tanah pertanian yang ditukar status menjadi kawasan pembangunan komersial.

Menurut beliau, pertukaran status itu dilihat semakin berleluasa terutama di kawasan Balik Pulau, Kepala Batas dan Nibong Tebal sejak beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus boleh menjejaskan bekalan makanan kerana kegiatan pertanian di kawasan berkenaan turut menyumbang kepada bekalan makanan negara.

Sementara itu, Rahmad berkata, kerajaan negeri menerusi SPC yang dipengerusikan sendiri Ketua Menteri, Lim Guan Eng harus bertegas dalam menangani setiap permohon­an pembangunan tanah, bukannya secara membuta tuli bersetuju atas komitmen sama ada daripada pihak perunding mahupun pemaju semata-mata.

Katanya, kelulusan pembangunan di kawasan berbukit juga mencetuskan persoalan kerana lokasi itu kebiasaannya akan dibina kediaman jenis mewah dan elit sekali gus mengetepikan golongan penduduk kelas rendah dan sederhana yang merupakan majoriti di negeri ini.

Tambahnya, kelulusan kepada kawasan berbukit dan tanah pertanian tidak wajar diberikan kerana kerajaan terdahulu sudah me­netapkan struktur pembangunan yang mapan bagi melindungi alam sekitar serta mengelak bencana alam seperti banjir.

“Sehingga hari ini pun kerajaan negeri masih gagal dan tidak mempunyai pelan penstrukturan semula pembangunan walaupun di peringkat kerajaan tempatan telah meluluskannya sejak beberapa tahun lalu,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online