Headlines News :
Home » » Pulau Aman...
setenang namanya : Lokasi percutian yang menjanjikan kelainan

Pulau Aman...
setenang namanya : Lokasi percutian yang menjanjikan kelainan

Written By Warta Utara on Thursday, January 29, 2015 | 8:12 PM

BATU KAWAN 29 Jan. - Setenang namanya, Pulau Aman menjanjikan kelainan kepada pelancong yang mencari sebuah lokasi percutian yang terhindar daripada kesibukan kota serta memiliki pelbagai tarikan sama ada tempat bersejarah atau makanan yang enak.

Terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer dari Jambatan Kedua Pulau Pinang, Pulau Aman turut terkenal di kalangan kaki pancing.

Sama ada memancing di laut dengan menyewa bot atau sekadar memacak joran di tepi pantai atau chalet penginapan, pemancing pastinya tidak akan pulang dengan tangan kosong.

Selain itu aktiviti lain yang boleh dijalankan di pulau seluas 116.5 hektar itu adalah berkayak, berbasikal, menaiki bot serta melihat sangkar ikan dan kerang yang diusahakan sendiri oleh penduduk kampung itu.

Dengan keluasan yang membolehkan semua tempat dikunjungi dengan berjalan kaki, pengangkutan utama di pulau itu hanyalah basikal sebelum beberapa motosikal dibawa masuk bagi memudahkan penduduk mengangkut barangan dari rumah mereka ke jeti.

Lebih menarik, di setiap rumah penduduk juga terdapat bot milik mereka yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai sumber pendapatan utama selain sebilangan kecil menjadi peniaga.

Dalam masa sama, antara aktiviti ekonomi utama di Pulau Aman adalah pelancongan menerusi aktiviti inap desa serta mengusahakan chalet-chalet persendirian untuk disewa pengunjung yang ingin bermalam di situ.

Antara kemudahan yang terdapat di Pulau Aman adalah sebuah sekolah rendah, dewan orang ramai, masjid, taman bimbingan kanak-kanak dan klinik desa.

Menurut salah seorang penduduk, Saibi Abd. Majid, 51, Pulau Aman terbahagi kepada dua bahagian iaitu Pulau Aman dan Pulau Gedung yang belum diteroka dan diliputi hutan tebal.

Jelasnya, berdasarkan cerita yang diperturunkan daripada orang-orang tua di pulau itu, Pulau Aman mula diteroka penduduk Kedah pada 1783 dan turut menjadi tempat perlindungan selepas tercetus peperangan antara Kedah dan Siam.

“Pada sekitar 1940an hingga 1960an, terdapat kira-kira 1,000 orang penduduk yang terdiri daripada berbilang kaum tinggal di sini namun selepas itu berlaku penghijrahan besar-besaran ke tanah besar menyebabkan jumlah penduduk semakin berkurangan.

“Sekarang hanya terdapat 278 penduduk masih menetap di pulau ini dengan kegiatan ekonomi utama mereka adalah sebagai nelayan serta sebahagian kecil adalah peniaga dan juga pengusaha bot,” katanya.

Tambah Saibi, antara tarikan utama pengunjung ke pulau itu adalah beberapa lokasi bersejarah seperti Telaga Emas, pokok sukun tertua, Gua Lanun, Batu Perompak dan banyak lagi.

Selain itu ujarnya, pengunjung juga mengenali Pulau Aman sebagai lokasi mendapatkan mi udang yang terkenal selain kerepek sukun dan hasilan laut seperti belacan dan keropok.

“Telaga Emas yang ditemui seorang penduduk pada 1789 menjadikan Pulau Aman salah satu lokasi bersejarah dan unik kerana air tawar dalam telaga dan air masin dari laut tidak bercampur walaupun terletak bersebelahan antara satu sama lain.

“Sebatang pokok sukun yang ditanam pada 1890 oleh seorang guru agama, Tok Awang Akib di pulau ini juga disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai pokok sukun tertua di Malaysia,” ujarnya.

Bagi seorang pengunjung dari Taiping, Perak, Nurul Asyikin Tajudin, 27, dia amat teruja ketika menjejakkan kaki kali pertama ke pulau itu bersama suami dan keluarganya.

Katanya, dia tertarik dengan keindahan pulau itu serta keramahan penduduknya selain kemudahan yang disediakan amat berpatutan dengan harganya.

“Abang ipar saya menyewa sebuah rumah dua tingkat di sini dan amat selesa untuk didiami selama dua hari satu malam dan dipenuhi dengan aktiviti BBQ serta boleh memancing di beranda rumah.
“Selain itu suasana kampung yang tenang dan udaranya yang nyaman membuatkan saya tertarik untuk datang lagi ke sini pada masa akan datang,” katanya.

Pendapat sama diakui Abdul Rahman Mohd. Yusoff, 34, yang gemarkan suasana kampung serta tarikan sejarah yang ada di pulau itu.

Jelasnya, selama ini dia hanya mendengar cerita daripada rakan-rakan mengenai pulau itu termasuk keenakan mi udang serta makanan laut yang dijual di situ.

“Saya telah melancong ke banyak pulau-pulau lain sebelum ini namun pada saya Pulau Aman memiliki tarikan tersendiri dan amat istimewa kerana banyak lokasi bersejarah serta dapat dikunjungi dengan hanya berjalan kaki.

“Saya berharap keaslian pulau ini dapat dikekalkan dan hadkan penggunaan motosikal agar udaranya tidak tercemar dengan asap kenderaan,” ujarnya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online