Headlines News :
Home » » Syarikat besar diminta bantu mangsa banjir

Syarikat besar diminta bantu mangsa banjir

Written By Warta Utara on Saturday, January 31, 2015 | 7:59 PM

OLEH NAZMIL NASIRUDDIN 

KUBANG PASU 31 Jan - Syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia Bhd. (Bursa Malaysia) diharap dapat tampil ke hadapan menghulurkan bantuan untuk meringankan beban yang terpaksa dihadapi mangsa banjir.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, syarikat berkenaan perlu lebih sensitif dalam menghulurkan sebarang bentuk bantuan kepada mangsa banjir dan tidak terlalu mementingkan keuntungan semata-mata.

Beliau mengingatkan bahawa keuntungan tersebut adalah hasil daripada pertumbuhan ekonomi negara melalui sumbangan rakyat merangkap pengguna yang secara tidak langsung terlibat menyumbang kepada kejayaan syarikat berkenaan.

“Tetapi dalam keadaan susah mereka tidak nampak muka, me­ngapa jadi seperti ini?

“Saya tertarik dengan apa yang diusahakan oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) sebagai syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang tampil ke hadapan mengadakan maj­lis amal golf bagi mengumpul dana untuk mangsa bencana di Pantai Timur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian majlis Amal Golf Bantuan Banjir BDB 2015 di Darulaman Golf & Country Club di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Datuk Izham Yusoff.

Pada majlis itu, BDB menyerahkan sumbangan bernilai RM307,500 kepada Mukhriz yang mewakili kerajaan negeri Kedah untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

Sumbangan berkenaan diperoleh daripada wang penyertaan para pemain golf, vendor BDB dan juga anak-anak syarikat melalui majlis amal itu.

Dalam perkembangan lain, Muk­h­riz menyifatkan cadangan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mengenakan yuran masuk ke Tasik Dayang Bunting merupakan tindakan wajar bagi memastikan destinasi pelancongan itu dapat diselenggara dengan baik.

Beliau berkata, lokasi menarik itu sememangnya perlu diselenggara untuk memastikan kebersihan kawasan tersebut memberikan keselesaan kepada pelancong.

“Imej Pulau Langkawi dan negara pasti akan terjejas sekiranya pelancong yang tidak berpuas hati dengan kebersihan lokasi tersebut berkongsi pengalaman mereka melalui media sosial sehingga menjadi viral di Internet.

“Kadar yang dikenakan paling minimum, RM5 untuk orang dewasa, RM3 (kanak-kanak) dan percuma (penduduk Langkawi). Kalau kita lihat di negara lain, memang menjadi perkara biasa bayaran ini dikenakan kepada pelancong dan mereka tidak rasa kekok untuk membayar kerana ini merupakan sumbangan untuk menjaga mutu persekitaran,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online