Oleh Salleh Buang
Kita kini di awal Februari 2015. Selasa minggu depan (10 Februari) ialah Judgment Day (hari penghakiman) mutakhir untuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada Jumaat 7 November 2014 lalu, Mahkamah Persekutuan selesai
mendengar rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun
yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan terhadapnya pada Mac 2014 lalu.
Prosiding
di Mahkamah Persekutuan itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu. Pada
mulanya mahkamah menetapkan dua hari sahaja untuk prosiding rayuan
peringkat terakhir ini, tetapi pasukan peguam Anwar seramai 14 orang itu
memerlukan lapan hari sebelum prosiding tamat.
Pengadu dalam kes
ini, Saiful Bukhari Azlan, memberitahu wartawan bahawa kes ini telah
berjalan selama lebih enam tahun, dan Anwar telah membuat lebih daripada
100 permohonan untuk melambat-lambatkan prosiding. Namun, Saiful yakin
Mahkamah Persekutuan akan akhirnya membuat satu keputusan yang adil bagi
pihaknya; meskipun begitu dia bersedia jika keputusan mahkamah itu
nanti menyebelahi Anwar.
Kes terbaru melibatkan Anwar ini
dipanggil media sebagai “Liwat II” (Sodomy II) kerana pada 8 Ogos 2000
Anwar telah pun disabitkan dengan kesalahan meliwat seorang individu
lain bernama Azizan, dan telah dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun. Pada
18 April 2003, Mahkamah Rayuan telah mengukuhkan sabitan dan hukuman
itu, tetapi pada 2 September 2004 Mahkamah Persekutuan telah memutuskan
(dengan keputusan majoriti) bahawa Anwar tidak bersalah dan telah
membebaskannya. Kes itu disebut sebagai “Liwat I”.
Kes sekarang
(Liwat II) bermula apabila Saiful membuat laporan polis pada 28 Jun
2008, mendakwa bahawa dia telah diliwat oleh Anwar di satu kondominium
di Damansara dua hari sebelumnya. Kes ini mula didengar di Mahkamah
Sesyen pada 7 Ogos 2008. Bagaimanapun tujuh bulan kemudian, pada 5 Mac
2009 Mahkamah Tinggi memerintahkan bahawa kes ini hendaklah didengar di
Mahkamah Tinggi. Hampir satu tahun berlalu sebelum kes didengar.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi bermula pada 3 Februari 2010 bila Saiful
memberi keterangan sebagai saksi pasukan pendakwaan. Pasukan pendakwaan
mengambil masa lebih satu tahun untuk membuktikan satu kes prima facie
terhadap Anwar. Pada 16 Mei, 2011 (iaitu hampir tiga tahun selepas
Saiful membuat laporan polis) hakim bicara memutuskan ada kes prima
facie terhadap Anwar, lalu memanggilnya untuk membela diri.
Dua
tahun lagi berlalu apabila pasukan peguam bela Anwar berhempas pulas
berusaha membuktikan anak guam mereka tidak bersalah dan memohon agar
hakim bicara melepas dan membebaskannya. Usaha dan kerja keras mereka
berjaya bila akhirnya pada 9 Januari 2012, hakim bicara (Hakim Mohamad
Zabidin) membuat satu keputusan yang dramatik, mengisytiharkan Anwar
tidak bersalah dan membebaskannya.
Hakim Bicara memutuskan
adalah tidak selamat untuk mensabitkan kesalahan tertuduh kerana dia
tidak yakin 100 peratus tentang integriti sampel DNA yang diambil
daripada pengadu. Terkilan dengan keputusan hakim bicara itu, pasukan
pendakwaan telah merayu ke Mahkamah Rayuan.
Sekali lagi, dua
tahun berlalu sebelum Mahkamah Rayuan dapat mengumumkan keputusannya.
Pada 7 Mac 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan keputusan
hakim bicara dan mendapati Anwar sabit kesalahannya meliwat Saiful dan
menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya.
Mengikut Mahkamah
Rayuan, hakim bicara telah melakukan kesilapan bila dia memutuskan
tentang integriti sampel DNA tersebut.
Terkejut dengan sabitan
Mahkamah Rayuan inilah Anwar kemudian telah memohon izin untuk merayu ke
Mahkamah Persekutan. Izin diberi dan prosiding di Mahkamah Persekutuan
bermula pada 28 Oktober 2014 lalu.
Prosiding di Mahkamah
Persekutuan bermula dengan pasukan peguam bela Anwar membuat hujah
mereka kepada panel hakim. Sewaktu prosiding hendak bermula, penyokong
Anwar membawa masuk dua tokoh politik dari Indonesia dan Filipina (Dave
Laksono, Ahli Parlimen dari Jawa Barat Indonesia, dan Bebot Bello, Ahli
Kongres Filipina).
Kedua-dua individu ini mendesak agar segala
pertuduhan terhadap Anwar digugurkan. Mereka juga mendakwa prosiding
jenayah yang dibuat terhadap Anwar ini adalah satu cubaan untuk
menamatkan kerjaya politiknya dan “satu pencabulan hak asasi manusia
yang bertentangan dengan Artikel 14 Piagam ASEAN tentang hak asasi
manusia.”
Sementara itu, pada 13 Ogos 2014 (iaitu kira-kira lima
bulan selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan kesalahan Anwar), Saiful
telah memfailkan satu tuntutan sivil menuntut ganti rugi RM50 juta
terhadap Anwar, mendakwanya telah meliwatnya pada 2008 dan selepas itu
memfitnahnya.
Penghakiman
10 Februari?
Negara kita
mengamalkan sistem adversarial. Di bawah sistem begini, tiada sesiapa
pun boleh meramalkan dengan keyakinan 100 peratus pihak tertentu akan
menang.
Jika kita tanya pengamal undang-undang di negara ini,
apakah Mahkamah Persekutuan akan mengukuhkan keputusan Mahkamah Rayuan
(mensabitkan Anwar ) atau akan memilih keputusan Hakim Bicara (mendapati
Anwar tidak bersalah), pastinya kita akan mendengar jawapan yang
berbeza.
Apa pun, pada hari terakhir prosiding di Mahkamah
Persekutuan pada awal November 2014 lalu, Anwar Ibrahim telah menyatakan
(dengan penuh yakin) bahawa pasukan peguam belanya telah berjaya
memusnahkan kes pasukan pendakwaan.
“Saya belum lagi dalam keranda” (I’m not in the coffin), katanya kepada wartawan.
Ramkarpal Singh, salah seorang peguam bela Anwar, memberitahu media
bahawa pasukan peguam bela berterima kasih kepada panel hakim Mahkamah
Persekutuan kerana mereka telah menunjukkan sikap penuh kesabaran
sewaktu mendengar segala hujah mereka. Dia yakin pada akhirnya keadilan
akan berlaku (justice will prevail at the end of the day).
Seorang lagi peguam bela Anwar, Gobind Singh Deo, dipetik sebagai
berkata “Kita yakin akan berjaya” (We are confident of success).
Datuk Seri Gopal Sri Ram, mantan Hakim Mahkamah Persekutuan dan ketua
pasukan peguam bela Anwar, berhujah pada hari terakhir prosiding bahawa
Saiful adalah “seumpama batang kayu yang patah, seorang saksi yang tidak
ada nilai, tidak boleh dipercayai sama sekali” (a broken reed, a
worthless witness, a man devoid of any credibility).
Pada 26
Januari 2015 lalu, akhbar The Star memetik Anwar sebagai berkata “Saya
yakin saya akan dibebaskan”. Andainya Anwar, kini 67 tahun - kecundang
kali ini dan rayuannya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 10
Februari depan ini, dia akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen
Permatang Pauh. Kerjaya politiknya akan berakhir di sini.
Andainya dia berjaya dan Mahkamah Persekutuan meluluskan rayuannya,
ramai pemerhati politik tempatan berpendapat kehadirannya terus dalam
arena politik negara ini tidak akan memberi apa-apa kesan langsung.
www.utusan.com.my
PENULIS ialah penganalisis undang-undang.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !