Headlines News :
Home » » Isyarat penerbangan setiap minit

Isyarat penerbangan setiap minit

Written By Warta Utara on Sunday, February 1, 2015 | 6:32 PM


MONTREAL – Semua penerbangan komersial di seluruh dunia tidak lama lagi bakal dilengkapi dengan isyarat automatik yang dihantar setiap minit semasa dalam kecemasan bagi memudahkan pencarian apabila pesawat itu berhadapan dengan masalah.

Langkah baharu itu dibuat sebagai tindak balas berhubung kejadian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing yang kini masih lagi menjadi misteri dalam sejarah penerbangan.

Pesawat itu yang membawa sebanyak 239 orang penumpang dan anak kapal masih belum ditemui selepas hampir setahun dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lalu.

Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kaedah baharu itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sebelum menjelang akhir tahun ini.

Cadangan itu akan dibentangkan kepada perwakilan dari 191 negara yang menjadi anggota ICAO pada satu mesyuarat di sini pada Isnin hingga Khamis minggu hadapan sebelum cadangan akhir akan dikemukakan kepada majlis ICAO dalam tempoh enam bulan untuk pengesahan.

Satu sumber memberitahu, cadangan itu telah mendapat sokongan sebulat suara dalam kalangan negara-negara anggota ICAO dan dijangka dapat dilaksanakan kelak.

Pada masa ini, radar sukar untuk mengesan kedudukan pesawat terutama apabila berada di kawasan lautan atau terbang pada ketinggian tertentu.

Melalui sistem baharu ini, syarikat penerbangan akan menerima isyarat daripada pesawat mereka untuk memberitahu lokasi penerbangan setiap 15 minit.

Kekerapan penghantaran isyarat kepada syarikat penerbangan bagaimanapun akan dipercepatkan setiap satu minit jika berlaku sebarang keadaan buruk termasuk perubahan laluan penerbangan atau lencongan dari laluan yang sepatutnya.

Syarikat penerbangan yang berhadapan dengan situasi kecemasan juga perlu menunjukkan data penerbangan kepada pihak berkuasa jika berlaku sebarang kejadian.

“Usaha ini merupakan permulaan untuk menjejaki pesawat setiap minit jika berlaku kecemasan dalam jangka pendek,” kata sumber itu. – AFP


Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Webmaster | Warta Utara Online
Proudly powered by Blogger
Copyright © 2014. Warta Utara Online - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP WEBMASTER Warta Utara Online