Menurutnya, pendapatan nege­ri ketika ini tidak didorong oleh sektor minyak dan gas menyebabkan ekonomi negeri tidak terkesan dengan kejatuhan harga komoditi itu.

Malah katanya, kerajaan negeri melihat situasi itu sebagai suatu peluang di mana negara-negara yang menjadi konsumer minyak dan gas seperti Jepun, Korea serta China akan meningkatkan penghasilan produk mereka.

“Apabila itu berlaku, biasanya mereka akan mendapatkan barangan atau komponen dari negara seperti Malaysia. Jadi kami menjangkakan pelaburan akan meningkat kerana kita mempunyai polisi yang tepat.

“Justeru kami akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi melihat bagaimana Kedah mampu memperoleh manfaat daripada si­tuasi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Kilang Kedua Go Automobile Manufacturing Sdn. Bhd. (Go Auto) dan Pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak Great Wall M4 (GWM4) di Kawasan Perindustrian Gurun, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatakuasa Industri dan Pelaburan Negeri, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohammad Madani Sahari serta Ketua Pegawai Eksekutif Go Auto, Ahmad Azam Sulaiman.

Mukhriz menambah, ketika ini beliau bersama Ku Rahman sedang memberi fokus kepada beberapa perkara yang diyakini mampu menarik kemasukan pelabur dengan salah satu daripadanya adalah kewujudan taman teknologi.

“Selain di Kulim dan Gurun, ada kira-kira tiga lagi taman teknologi yang sedang kami usahakan. Ketika ini, kami menerima nasihat dari MITI serta MIDA bagi mengambil langkah yang dirasakan perlu untuk menarik minat pelabur dan antaranya adalah dengan memperkenalkan konsep kluster.

“Sebagai contoh, walaupun Taman Teknologi Tinggi di Kulim berjaya dan merupakan yang terbaik di Malaysia, tetapi di situ bercampur segalanya termasuk solar, elektrik dan elektronik serta semi konduktor. Jadi, kami cuba fokuskan kepada satu perkara saja di satu tempat seperti Bandar Sains Perubatan yang dirancang di atas tanah seluas 660 ekar di Bandar Baharu,” katanya.

Mengulas status terkini pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Kulim yang dijangka bakal merancakkan lagi pelaburan di kawasan sekitar, Mukhriz berkata kerajaan negeri sehingga kini masih menanti kelulusan daripada kerajaan pusat.

“Yang kami minta hanya kelulusan dan bukannya peruntukan penuh untuk membina lapangan terbang itu. Tetapi kalau kerajaan pusat mempunyai peruntukan untuk membinanya, itu sangat kami alu-alukan.

“Buat masa ini, kami sendiri sedang meneroka pelbagai pendekatan lain untuk membina lapangan terbang itu. Kami tidak bergantung sepenuhnya kepada kerajaan pusat untuk membinanya,” katanya.