Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
MUNGKIN itulah perkataan yang akan keluar dari mulut orang-orang Islam, lebih-lebih lagi mereka
yang menjadikan Islam sebagai sampingan, iaitu apabila perlu
kepadanya, maka ia diambil dan dipegang sekuat-kuatnya, dan apabila ia
tidak diperlukan, ia diletakkan lebih rendah di bawah tapak kaki
mereka.
Maka tidak mustahil, golongan seumpama itu,
menerima ujian bala secara tunai daripada Allah SWT bagi memberi
pengajaran kepada golongan manusia lain agar sentiasa berwaspada dengan
tindak-tanduk yang tidak memperlihatkan menentang Allah, kerakuasan
manusia dan penentangan mereka serta maksiat yang dilakukannya, adalah
punca yang dikenal pasti bahawa Allah tidak teragak-agak untuk mengirim
kepada mereka bala seperti yang berlaku di negara-negara umat Islam
seperti tragedi Tsunami di Aceh pada 2004 yang melibatkan majoriti
individu muslim.
Terbaru yang dapat kita saksikan dengan mata
kepala kita sendiri, musibah banjir yang melanda Kelantan serta beberapa
negeri Pantai Timur dan Barat. Ada soalan sinis datang dari mereka yang
terlampau anti dengan Kelantan, kata mereka, Kelantan yang bersungguh
untuk melaksanakan hukum ‘Hudud’ dilanda banjir, patut kalau sudah
bersedia dengan hukum Allah, maka ia sepatutnya tidak dilanda banjir
yang teruk dalam sejarah negara.
Kita katakan kepada mereka,
menurut kira-kira ilmu dalam Islam, apabila Allah sayang kepada golongan
tertentu, maka golongan tertentu itu sahaja yang akan mendapat
rahmat-Nya, tetapi sebaliknya jika Allah marah, golongan yang
disayangi-Nya dan yang dibenci-Nya semua terpalit dengan musibah atau
ujian seperti Tsunami, banjir kilat, gempa bumi, ribut taufan dan
sebagainya.
Persoalannya di sini, akibat suara-suara sumbang
segelintir individu yang celupar mulut mereka dengan menghina
pelaksanaan hukum ‘Hudud’ di Kelantan yang akan dilaksanakan nanti, maka
Allah bayar tunai ujian banjir kepada mereka, maknanya yang baik kena
dan yang tidak berapa baik pun kena ujian banjir.
Apa pun umat
Islam harus sedar bahawa Allah sentiasa mengawasi dan memerhatikan
mereka sepanjang masa, sesungguhnya rahmat Allah apabila diturunkan
hanya tertumpu kepada orang-orang yang baik-baik sahaja tidak termasuk
golongan yang jahat, adapun jika Allah mahu menurunkan bala-Nya, yang
baik dan yang jahat akan samasama menerimanya, cuma yang membezakannya
ialah orang yang baik mati dalam iman sementara yang jahat mati dalam
penentangan terhadap Allah SWT.
Apakah sebenarnya peranan umat Islam di dunia ini ?
Sifat utama Umat Islam seperti yang didedahkan oleh al-Quran ialah
mengajak manusia sejagat untuk melakukan perkaraperkara yang baik
(makruf) dan meninggalkan perkara-perkara haram yang ditegah oleh agama
Islam, ia bertujuan tidak lain agar mereka menjadi umat yang berjaya di
dunia dan akhirat, pendedahan ini pernah disebut menerusi surah Ali
‘Imran ayat 104 yang bermaksud : Dan hendaklah ada di antara kamu
segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang
makruf dan mencegah dari perkara mungkar, mereka itulah orangorang yang
berjaya.
Umat Islam adalah sebaikbaik umat yang dilahirkan Allah
ke muka bumi ini bagi mengajak manusia seluruhnya mengabdikan diri hanya
kepada Allah SWT dalam erti kata yang cukup luas maksud dan
pengertiannya.
Diuji dengan pelbagai ujian untuk jadi kuat dan matang
Antara
ujian yang disebut oleh al-Quran ke atas manusia ialah dengan
menjadikan hidup dan mati itu sebagai ujian untuk mengetahui sejauh mana
mereka benar-benar beriman kepada Allah (lihat ayat 2 surah al-Mulk dan
ayat 2 dan 3 surah al-Ankabut).
Umat Islam diuji dengan
kefarduan solat lima waktu, puasa sebulan di bulan Ramadan, menunaikan
fardu haji di Makkah, berakhlak mulia, bersangka baik, meninggalkan
segala tegahan dan larangan Allah dan sebagainya, ia tidak lain adalah
untuk menjadikan mereka Umat yang berkualiti tinggi dari sudut keimanan,
ketakwaan dan hubungan dengan Allah selaku Pencipta.
Tanpa
ujian, sudah pasti umat manusia seluruhnya tidak mengetahui sejauh mana
keimanan mereka itu kepada Allah, seperti mana para pelajar di sesebuah
sekolah, mereka mesti melalui proses pembelajaran yang diakhiri dengan
peperiksaan penting, sama ada di peringkat UPSR, PT3 atau SPM bagi
menentukan tempat terbaik pembelajaran di peringkat yang lebih tinggi.
Kekuatan dan kematangan sesuatu umat bergantung kepada sejauh mana
mereka diuji, sama ada melalui proses beribadat, melaksanakan segala
tanggungjawab di hadapan Allah, menyuruh manusia berbuat baik, mencegah
mereka dari melakukan kemungkaran dan bermacammacam ujian lain, ini
semua adalah untuk memastikan umat itu maju dan kental dari sudut jati
diri mereka.
Ujian adalah untuk mengingatkan umat tentang peranan dan tanggungjawab
Rasulullah
s.a.w ada menyebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Said
daripada baginda Rasulullah bersabda: Umatku ini adalah umat yang
disayangi (dikagumi) Allah, sepatutnya mereka tidak disiksa di akhirat,
tetapi mereka diuji dengan pelbagai raptai ujian dan seksaan di dunia
menerusi empat perkara,
1. Berlaku bermacam-macam fitnah terhadap agama (dilakukan sendiri oleh umat Islam),
2. Berlaku gempa bumi, ribut taufan, banjir kilat, tanah runtuh,
3. Kematian di mana-mana (sama ada kematian disebabkan kemalangan,
bunuh diri, membunuh orang lain bagi menutup rasa malu dan lain-lain),
umat ditimpa pelbagai bentuk bala daripada Allah.
4. Bala dalam pelbagai bentuk dan anggarannya.
Berdasarkan keterangan hadis Nabi Muhammad di atas, kita sepatutnya
bersyukur kepada Allah kerana dikategorikan dalam golongan umat Nabi
Muhammad yang banyak kelebihannya, kerana baginda sahajalah yang mampu
memberi syafaat di akhirat dibandingkan dengan para Anbiya’ yang lain.
Namun apa yang patut kita sama-sama fikirkan ialah persoalan hidup kita
semasa di dunia ini, pernahkah kita terfikir, bagaimana Nabi Muhammad
mengkhabarkan mengenai raptai ujian atau seksaan di dunia ini atas
kesilapan yang kita sendiri lakukan. Sesungguhnya bencana yang sedang
melanda ketika ini adalah ujian dari Allah SWT untuk menunjukkan
kekuasaannya agar dijadikan iktibar oleh semua umat Islam. Sesungguhnya
ini merupakan ujian besar Allah yang tentunya ada hikmah bagi kita semua
untuk bermuhasabah dan menjadikan kita hamba yang lebih beriman dan
bertakwa.
Atas kealpaan manusia bernama Islam, yang melakukan
banyak tindakan yang menyalahi agama, hingga ia dianggap fitnah terhadap
Islam itu sendiri, sebagai contoh, berapa ramai dalam kalangan wanita
Islam yang tidak bertudung kepala (hijab) dianggapnya dosa kecil, ada
yang berjudi, minum arak, merogol keturunan sendiri, meragut, membunuh
dan bermacammacam jenayah lagi, kesemua itu adalah fitnah kepada Islam.
Justeru, apabila umat Islam sendiri terlibat dengan fenomena fitnah,
maka tidak mustahil Allah SWT menimpakan pelbagai bentuk malapetaka dan
bala yang tidak terduga oleh akal manusia, kalau di zaman dahulu Allah
timpakan bala seperti belalang, kutu, katak, darah yang menggerunkan
pada ketika itu, pada hari ini Allah hukum dengan selsema burung,
penyakit kuku, tangan, kaki dan mulut, Aids dan macam-macam lagi yang
menyebabkan manusia takut dan pasrah terhadap hukuman-Nya.
Antara
bala yang ditimpakan Allah ke atas umat Islam kini ialah kematian, sama
ada yang disebabkan oleh kemalangan atau pembunuhan, laporan akhbar
setiap hari menyebut mengenai kes-kes kematian, ini menandakan bahawa
Allah sedang merancang sesuatu untuk menghukum kita yang alpa dengan
habuan dunia yang menjauhkan diri kepada-Nya.
Sebenarnya ujian
yang kita terima dan sedang berhadapan dengannya, adalah tidak lain
untuk mengingatkan kepada asal kejadian kita, iaitu untuk beribadat
kepada-Nya, apabila kita diuji dalam keadaan taat dan mati kerananya,
maka kita sedang melakukan perkara yang salih, tetapi sebaliknya apabila
kita mati dalam keadaan maksiat dan menentang Allah, dikhuatiri
kematian kita itu menjadi kutukan di sisi Allah SWT, justeru, marilah
kita sama-sama menginsafi diri dan banyak melakukan muhasabah kepada
Allah.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !