Oleh Amin Iskandar
Walaupun masih ada setahun sebelum pemilihan Umno pada 2016, pertandingan yang bakal
memberikan laluan kepada ahli parti untuk menjadi pemimpin negara itu
dikatakan sudah bermula, dan kempen untuk menyingkirkan pemimpin
kanan paling popular, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sedang dilakukan.
Sumber dalaman Umno memberitahu, isu surat menteri dalam negeri itu
kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung raja judi Paul Phua Wei
Seng sedang digunakan untuk menamatkan karier politik ahli Parlimen
Bagan Datoh itu.
Kerana popularitinya dan status sebagai
pemimpin kanan Umno paling popular (presiden dan timbalan presiden
tidak bertanding) dan sudah teruji dalam dua pemilihan lepas, Zahid
dilihat menjadi penghalang kepada sesetengah pemimpin untuk mendaki
hiraki kepimpinan parti Melayu itu.
Dalam pemilihan Umno akan datang, Zahid dilihat sebagai ancaman bagi
jawatan timbalan presiden mahupun presiden Umno kerana popularitinya.
Ini bermakna, jika Zahid menang jawatan timbalan presiden atau
presiden Umno, beliau bakal menjadi timbalan perdana menteri atau
perdana menteri Malaysia.
Salinan surat Zahid kepada FBI dan
rencana mengenainya pada mulanya didedahkan akhbar South China Morning
Post (SCMP). SCMP juga menyiarkan kandungan surat itu, di mana Zahid
mengatakan Paul bukan ahli kongsi gelap 14K di Malaysia.
Surat
yang ditujukan kepada Timbalan Pengarah FBI Mark F Giuliano itu
mendakwa Paul membantu Putrajaya dalam projek yang berkaitan dengan
keselamatan negara.
Ketika isu surat kepada FBI itu heboh di
media atas talian dan laman sosial sehingga Zahid menjawabnya buat kali
pertama Jumaat lepas, tidak kelihatan pemimpin-pemimpin kanan Umno
mempertahankannya.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin hanya memberitahu media pada 13 Januari, Kabinet tidak pernah
berbincang mengenai surat Zahid kepada FBI itu.
Bagaimanapun,
keesokan harinya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata mesyuarat
jemaah menteri sudah mendengar penjelasan Zahid berhubung surat yang
dihantarnya kepada FBI.
Zahid juga tidak mendapatkan sokongan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di bawah kementeriannya.
Dikatakan polis yang sebelum ini tidak percaya dengan pendedahan akhbar
SCMP kini marah kerana reputasi PDRM tercalar.
Seorang
pegawai kanan polis memberitahu The Malaysian Insider, sebagai Menteri
Dalam Negeri, Zahid sepatutnya mendapatkan nasihat undang-undang
sebelum menulis surat itu.
"Apabila isu itu pertama kali
dihebohkan, ada pihak yang pada mulanya tidak percaya Zahid bertindak
mengetepikan laporan rasmi dari PDRM," kata pegawai itu.
"Kemudian, ketika isu itu semakin berkembang dan peguam Umno Tan Sri
Muhammad Shafee Abdullah membuat sidang akhbar, rasa tidak percaya itu
bertukar menjadi ketawa dan akhirnya marah.
"Kredibiliti
pasukan polis hancur lumat kerana orang ramai mula mempersoalkan
kenyataan bercanggah yang datang dari Malaysia berhubung kes Phua,"
kata seorang pegawai berpangkat tinggi.
Sebab itulah Zahid pada
sidang medianya Jumaat lepas berikrar akan tetap memerangi
gangsterisme, jenayah dan judi di negara ini.
"Saya tidak akan
berkompromi dengan gejala tidak sihat dan episod ini menguatkan
semangat saya untuk terus memerangi aktiviti jenayah," katanya.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha memenangi kembali hati anggota-anggota PDRM yang berada di bawah kementeriannya.
Pada masa sama, Umno sedang “menggasak” bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad kerana lantang mengkritik Datuk Seri Najib Razak dengan
menyerang sekutu rapatnya Tun Daim Zainuddin melalui media dikawal
mereka.
Tidak pernah kita bayangkan TV3 memberikan liputan
besar-besaran kepada laporan PKR kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) terhadap Daim. Tetapi itulah yang berlaku hari ini.
Pemerhati politik melihat inilah masa terbaik untuk Zahid bersekutu dengan Dr Mahathir.
Namun satu sumber lain mengatakan Dr Mahathir masih terluka dengan
Zahid berhubung episod lama ketika menteri dalam negeri itu ketua pemuda
Umno.
Keadaan ini mungkin berubah apabila saat genting tiba kerana dalam politik, tiada kawan atau musuh yang kekal.
http://www.themalaysianinsider.com
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !