Oleh Abd Shukur Harun
Penegasan pemimpin kanan PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa PAS tidak akan sesekali bergabung dengan Umno sebagaimana yang disiarkan dalam pelbagai media sangat melegakan.
“Perkara penggabungan PAS-Umno ini tidak pernah dibincang dalam
mana-mana mesyuarat parti,” kata Naib Presiden itu dalam kenyataannya
untuk menjelaskan keadaan sebenar bagi meredakan kebimbangan pelbagai
pihak mengenai kemungkinan PAS dan Umno bergabung.
Saya kira,
penegasan Tuan Ibrahim itu sangat tepat pada waktunya di mana khabar
angin PAS-Umno bakal bergabung - dalam facebook, twitter, dan WhatsApp,
serta percakapan umum di mana saja – sedang rancak diperkatakan mengenai
isu ini.
Media yang dikuasai parti Umno/BN pula memainkan isu ini,
malah melaga-lagakan di antara sesama pendukung PAS untuk keuntungan
politik.
Kenyataan bijaksana Tuan Ibarhim telah meredakan keadaan
dan sekaligus menyelamatkan PAS sendiri dari pelbagai andaian, tuduhan
dan teka teki.
Maknanya di sini bahawa PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dan ini adalah suatu yang sangat wajar.
Kata
Tuan Ibrahim: “Saya ingin tegaskan bahawa PAS tidak akan sesekali
bergabung dengan Umno sebagaimana yang diviralkan dalam media sosial
sekarang. Perkara penggabungan PAS-Umno ini tidak pernah dibincang dalam
mana-mana mesyuarat parti.
Katanya, sudah banyak kali ditegaskan
bahawa tidak timbul soal penyatuan kedua-dua parti ini. PAS ada 21
kerusi parlimen, Umno mempunyai 88 kerusi parlimen. “Jika bergabung,
Umno nak bagi berapa kerusi kepada PAS? 40? Daripada sudut ini saja,
tuduhan bahawa PAS akan bergabung dengan Umno sudah tidak masuk akal”.
Bahkan,
Presiden PAS, katanya, telah menegaskan di dalam Muktamar PAS yang lalu
dan sebelumnya bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno. Perkara
dasar begini, kata Tuan Ibrahim, mesti melalui keputusan muktamar bukan
hanya pandangan peribadi ahli parti.
“Jikalau atas alasan untuk
melaksanakan sistem perundangan Islam, Umno sudahpun boleh
melaksanakannya seandainya betul ingin melaksanakannya di semua negeri
yang diperintahnya.
“Berdekad-dekad Umno menentang hudud dan
memperlekehkan hukum Allah ini, dan tidak menggunakan Al-Quran dan Hadis
sebagai rujukan tertinggi parti, apakah mungkin tiba-tiba Umno betul
ingin membantu PAS melaksanakannya?
“Dalam saat Umno sedang
kelemasan, tentulah ia akan sanggup melakukan apa sahaja, namun
pengalaman lampau membuktikan bilamana mereka kuat, mereka akan tendang
PAS keluar dari muafakat yang ada,” kata Tuan Ibrahim lagi.
Sudah
sekian lama, katanya, Umno menindas Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dan
rakyat Kelantan dengan menafikan royalti minyak, pembanguanan, lebuh
raya, lapang terbang dan langsung tidak menghormati sistem federalisma.
Apakah tindakan parti yang zalim terhadap PAS berdekad-dekad ini boleh
dipercayai?
Menurut beliau, jika hujahnya adalah untuk perpaduan
Melayu, biarlah orang Melayu bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah
kerajaan baru berteraskan Islam, dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti
yang boleh menerima rasuah, salahguna kuasa sebagai sesuatu yang patut
di bawah kerajaan Umno.
Di sinilah seingat saya, untuk selama
puluhan tahun, sepanjang perjuangannya, Allahyaram Tuan Guru menentang
habis-habisan assobiyah (perkauman) kerana baginya perkauman itu adalah
sebuah kejahatan yang menentang kemanusiaan dan menjadi musuh Islam.
Maka
Almarhum Tuan Guru sejak dari dulu hingga akhir hayatnya, berada di
barisan depan jamaah PAS menjadi penghalang utama dari sebarang usaha
untuk menggabungkan PAS dengan Umno, atas nama apapun. Justeru
Allahyarhamlah yang sangat memahami musuh politik PAS itu.
Allahyaram
pernah menyebutkan bahawa “Rasululalah s.a.w. mengingatkan umat Islam
supaya jangan kena patuk ular dua kali dalam lubang yang sama” iaitu
merujuk pengalamannya berdepan dengan karenah Umno selama puluhan tahun.
Pada
pendapat saya, jika pendukung PAS semua peringkat mahukan PAS memiliki
masa depan yang cerah, maka wawasan Almarhum ini sangat wajar
diteruskan. Iaitu memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan
oleh Almarhum dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan
demokrasi dan peruntukan perlembagaan negara.
Dengan itu PAS akan
berganding bahu, sama-sama memperkukuh Pakatan Rakyat untuk mencapai
kemenangan mendapatkan kuasa dalam PRU seterusnya.
Di sini, saya
masih ingat akan kata-kata Almarhum Tuan Guru bahawa “dengan kita berada
dalam Pakatan Rakyat, maka kita mendapat medan luas untuk berdakwah
kepada rakyat, khususnya kepada non-Muslim”.
Bahkan, kata
Almarhum, kita boleh menunjukkan kepada dunia, akan model politik Islam
yang berjaya dilaksanakan oleh PAS di negara ini di di tengah masyarakat
majumk.
Sejak akhir-akhir ini, dengan kemelut yang ada dalam
Pakatan Rakyat, maka rakyat umumnya dan penyokong Pakatan Rakyat
khususnya, sedang tertanya-tanya dan menunggu jawapan yang pasti, sama
ada PAS akan keluar dari Rakyat dan kemudian bergabung dengan Umno.
Oleh
itu apabila pemimpin kanan PAS, seperti Tuan Ibrahim Tuan Man dengan
tegas menyatakan bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno, maka saya
kira, rakyat prihatin merasa sangat lega. Bahawa ini adalah jawapan
bijaksana dari seorang pemimpin PAS.
Seingat saya, sebanyak empat
kali Muktamar Tahunan PAS, mempertegas komitmen PAS bersama Pakatan
Rakyat, maka apapun masalah dalaman dalam Pakatan Rakyat, tentu saja
boleh diselesaikan.
Di sini betapapun nyaringnya seruan, desakan
dan sebagainya dari pelbagai pihak untuk melihat penyatuan PAS-Umno atas
alasan untuk memperkukuh perpaduan Melayu-Islam, maka jawapannya ialah
‘tidak mungkin’.
Seperti kata Tuan Ibtrahim, biarlah orang Melayu
bersama dengan PAS bagi membentuk sebuah kerajaan baru berteraskan Islam
dan tidak lagi dilihat sebagai komuniti yang boleh menerima rasuah,
salahguna kuasa sebagai sesuatu yang patut di bawah kerajaan Umno/BN.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !