JITRA - Pakar dalam teknologi maklumat (IT), menawarkan harga rendah
untuk pembelian komputer dan set kamera litar tertutup (CCTV) menjadi
modus operandi seorang individu dalam menjalankan kegiatan penipuan
sekitar Jitra sejak awal bulan Februari lalu.
Dikenali dengan nama Hizairi, individu berusia dalam lingkungan 27
tahun itu dikatakan menipu hampir 10 mangsa dengan pelbagai helah dan
kini menghilangkan diri bersama wang tunai dan komputer milik mangsa.
Pada awalnya, suspek bekerja di sebuah kedai komputer di Pekan Jitra,
di sini, sejak Januari lalu dan memberikan komitmen yang baik sepanjang
tempoh sebulan bekerja.
Bagaimanapun, kelakuan pemuda yang beralamat terakhir dari Johor itu
berubah apabila didapati cuba menarik pelanggan dengan menawarkan
barangan komputer pada harga istimewa.
Seorang mangsa yang juga rakan kepada bekas majikan suspek, Khairul
Izlan Hussin, 26, berkata, dia mengenali Hizairi ketika berkunjung ke
kedai komputer milik rakannya itu pada 4 Februari lalu.
“Pada masa itu saya kenal dia sebagai seorang yang mahir dalam bidang
IT kerana saya ada sebuah kedai komputer di Baling dan datang ke kedai
ini untuk baiki komputer.
“Dalam pada itulah, saya ditawarkan dengan pembelian dan pemasangan set
CCTV oleh suspek dengan harga amat murah berbanding harga pasaran
biasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, percaya dengan tawaran itu kerana kesungguhan yang dipamerkan oleh suspek membuatkannya berminat dengan tawaran itu.
“Awalnya, saya percaya dengan dia sebab dia sanggup datang ke Baling
untuk melihat struktur kedai saya sebelum kerja pemasangan CCTV
dilakukan.
“Kemudian, saya diminta untuk beri bayar wang RM2,350 ke akaunnya
dengan tiga kali bayaran sebagai deposit pembelian set CCTV dan
komputer. Tetapi sehingga hari ini barangan itu tidak diperoleh dan dia
menghilangkan diri,” katanya.
Bekas majikan turut ditipu
Dalam pada itu, bekas majikan suspek, Zulkhairi Jamaludin, 31, mendakwa turut ditipu membabitkan kerugian kira-kira RM6,000.
Menurutnya, penipuan itu dilakukan suspek dengan menawarkan pembelian
aksesori komputer dengan harga yang murah melalui pengedar yang
dikenalinya di Kuala Lumpur.
“Pada pertengahan Februari lalu, saya diberitahu dia berada di sebuah
pusat jualan komputer di Kuala Lumpur dan menawarkan peralatan komputer
yang mahu dibelinya dengan harga yang murah.
“Masa itu saya belum tahu kegiatannya dan mempercayai tawarannya, jadi
saya berikan sejumlah wang untuk beli aksesori komputer yang
dimaklumkan,” katanya.
Zulkhairi berkata, apa yang dikesalkannya adalah tindakan suspek menipu
orang ramai yang kebanyakan terdiri daripada pelanggannya menggunakan
kemahirannya dalam bidang komputer untuk memperdayakan mangsa.
“Selepas dia menghilangkan diri dan gagal dihubungi, saya dikunjungi
beberapa individu yang mengatakan mereka ada buat urusan pembelian
komputer dan CCTV daripada suspek. Mereka meminta saya untuk
bertanggungjawab disebabkan suspek bekerja dengan saya
ketika itu.
“Tetapi apa yang saya tahu, kebanyakan urusan yang dibuat melalui
suspek dilakukan di luar kedai dan menggunakan nama syarikat milik
suspek sendiri,” katanya yang turut membuat laporan polis terhadap bekas
pekerjanya itu.
Taktik licik guna bahasa Mandarin
Dalam menjalankan aktiviti penipuan tersebut, suspek dikatakan
menggunakan kebolehan berbahasa Mandarin untuk menyamar sebagai individu
berlainan dan menggunakan empat nombor telefon.
Seorang lagi mangsa, Solehuddin Zainal Abidin, 24, berkata, dia
menyedari ditipu suspek apabila mendapati nombor telefon seorang lelaki
Cina merupakan nombor telefon suspek.
“Saya di maklum oleh suspek mengenai komputer yang dibeli melaluinya
berada di sebuah kedai di Pulau Pinang untuk ditukar aplikasi lebih baik
dan dimaklumkan akan dihubungi seorang lelaki Cina untuk hantar
komputer itu.
“Lepas itu memang ada seorang lelaki telefon saya dengan pertuturan
bahasa Melayu pelat orang Cina. Jadi saya tunggu individu itu mahu
hantar komputer saya dan akhirnya senyap begitu saja.
"Bila saya periksa dengan bekas majikannya, ternyata individu menyamar
Cina itu adalah Hizairi berdasarkan nombor telefon yang digunakan,”
jelasnya.
Difahamkan, kegiatan penipuan oleh suspek itu turut memperdayakan
beberapa orang guru sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)
dan pensyarah IPT sekitar Jitra dan laporan polis mengenai kegiatan
suspek juga melibatkan beberapa lokasi lain seperti Johor dan Kuala
Lumpur.
Polis masih buru suspek
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd Rahim
Abdullah, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kegiatan
itu dan suspek belum dapat dikesan.
Menurutnya, pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas dakwan menipu dalam urusan jual beli.
“Sehubungan itu, kita masih mengesan suspek.
"Tindakan lanjut untuk membantu siasatan kes ini berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa yang terlibat.
“Kita meminta kerjasama daripada orang ramai supaya memaklumkan kepada
pihak polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai mangsa atau pernah
terpedaya dengannya” katanya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !