KANGAR - Seorang bekas kakitangan Hospital Tuanku Fauziah (HTF)
dipercayai hilang sejak kelmarin selepas ahli keluarga menemui
motosikalnya dalam keadaan tumbang di Taman Rekreasi Gua Cenderawasih di
sini, petang kelmarin.
Anak mangsa, Imran Ahmad, 29, berkata, bapanya, Ahmad Hashim, 65,
keluar dari rumah mereka di Taman Kemajuan di sini, sejak jam 12 tengah
hari dengan menaiki motosikal.
Katanya, apabila hampir jam 5 petang, ibunya mula tidak sedap hati apabila bapanya tidak pulang untuk makan tengah hari.
“Kemudian ibu mengajak abang ipar saya untuk mencari bapa di kawasan
rekreasi terbabit. Apabila sampai, mereka menemui motosikal bapa dalam
keadaan tumbang.
“Ibu dan bapa selalu pergi beriadah di kawasan gua itu pada sebelah
petang, sebab itulah ibu dapat meneka bapa akan pergi ke situ namun,
hanya motosikal yang dijumpai,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi
Gua Cenderawasih ketika operasi mencari bapanya dilakukan anggota
polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Rela, semalam.
Imran yang juga anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kuala Perlis
berkata, bapanya berubah menjadi pendiam sejak akhir-akhir ini setelah
beberapa kali demam panas pada bulan lalu.
“Kali terakhir saya berjumpa bapa pada pagi kelmarin namun, dia tidak
banyak bercakap dan saya serta adik-beradik lain perasan perubahan ayah
yang peramah dan suka bergurau sebelum ini.
“Saya berharap bapa ditemui selamat dan jika ada yang ternampaknya boleh hubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Operasi JPAM Perlis, Leftenan Muda (Pertahanan
Awam) Mohd Faisal Zainol berkata, seramai 24 anggota termasuk pegawai
JPAM bersama polis dan Rela terlibat dalam operasi mencari mangsa sejak
jam 9 malam kelmarin.
Menurutnya, sehingga petang ini (semalam) Ahmad masih belum ditemui.
“Pihak kami memanjat bukit di kawasan itu termasuk mencarinya di sekitar kawasan kaki bukit.
"Setakat ini khidmat anjing pengesan turut digunakan namun, jejaknya hilang di kawasan kaki bukit ini,” katanya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !