Oleh Timmy Say
Setahun berlalu, ramai yang bekerja kini sedang menyediakan laporan tahunan mengenai prestasi
diri untuk penilaian majikan bagi menentukan kadar kenaikan gaji dan
juga bonus. Semua yang bekerja mengharapkan kenaikan gaji dan bonus
setiap tahun.
Jadi, kita tidak perlu hairan apabila para
peniaga makanan mahupun pengusaha sendiri mengambil keputusan menaikkan
harga jualan mereka. Adalah satu perkara normal untuk mereka
melakukannya kerana itulah naluri manusia untuk mendapatkan pendapatan
lebih.
Ramai berkata harga barangan perlu menurun sejajar dengan trend kejatuhan harga minyak.
Tapi jika semua pihak inginkan penambahan pendapatan, ini bermakna kos
perniagaan pada puratanya akan meningkat. Oleh itu, siapa pula yang
sanggup turunkan harga hanya kerana harga minyak menurun?
Lihatlah pada tambang bas, bas sekolah, pengusaha pengangkutan swasta
mahupun pengangkutan awam – ada siapa yang berdiri keluar untuk
menyatakan mereka akan menurunkan harga servis mereka sejajar dengan
penurunan harga minyak?
Tiada!
Baru susah payah mendapat
kenaikan pendapatan (daripada kenaikan harga servis), takkan pula nak
menghukum diri dengan menurunkan harga barangan dan servis sendiri.
Kita yang bekerja dengan majikan pun tidak pernah terfikir mahu meminta
mengurangkan gaji hanya kerana kini kita tidak perlu lagi membayar duit
petrol yang mahal.
Jadi, bagaimana ada sesetengah daripada kita boleh terfikir para peniaga akan menurukan pendapatan mereka.
Ini semua salah kerajaan
Sebagai kerajaan, ia perlu memahami setiap keputusan yang dilakukannya akan membawa impak.
Oleh itu, sejak awal-awal lagi ramai menyuruh kerajaan untuk tidak
menaikkan harga minyak sewenang-wenangnya kerana ia membuka peluang
kepada kenaikan harga barangan dan servis secara keseluruhannya.
Apabila harga barangan dan servis dah naik, ia agak mustahil untuk
diturunkan semula walau apa sebabpun kerana ia berkait rapat dengan gaji
dan pendapatan orang-orang tertentu.
Penurunan harga minyak ini membuka satu dimensi masalah yang baru kepada rakyat marhaen.
Katakanlah harga minyak pulih ke tahap AS$70 setong, dan kerajaan
terpaksa menaikkan harga minyak kembali ke tahap RM2.30 seliter kerana
sistem subsidi sudah dihapuskan, bagaimanakan kerajaan boleh menghalang
para peniaga daripada mengambil kesempatan untuk sekali lagi menaikkan
harga barangan dan servis mereka, yang sudah dinaikkan sebelum ini
sebelum harga minyak diturunkan ke RM1.91?
Inilah nasib malang
yang sedang menanti rakyat di 2015… dengan satu kerajaan yang sedang
menunggu di tepi untuk menghisap 6% daripada setiap transaksi pembelian
barangan dan servis bermula April ini.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !