ARAU - Terpaksa tinggal di rumah tidak berpintu dan tiada kemudahan
elektrik serta air, itulah nasib empat adik beradik berusia 12 hingga 20
tahun yang hidup sebatang kara sejak perpisahan ibu bapa mereka lapan
tahun lalu.
Faizah Norhairi, 12; Nor Azwa, 14; Nor Faez, 16, dan Nor Atikah, 20,
meneruskan kehidupan mereka tanpa kasih sayang ibu bapa, sebaliknya
hanya menumpang kasih nenek dan datuk yang tinggal berdekatan rumah
mereka di Kampung Bakong, Behor Mengkuang, di sini.
Menurut Nor Atikah, neneknya Hawa Man, 65, bekerja sebagai pembantu
kantin sekolah dengan pendapatan RM35 sehari bagi menyara kehidupan
mereka.
“Setiap hari nenek akan ke sekolah awal pagi dan membeli nasi lemak
untuk kami makan. Kemudian kami akan makan di sebelah petang pula
sementara menunggu nenek pulang dari kerja.
“Jika lapar kami akan masak sendiri di rumah, kadang-kadang kami
tumpang makan di rumah bapa saudara,” katanya ketika ditemui di rumah
mereka, semalam.
Dengan beralaskan tilam lusuh, empat beradik ini tidur menghabiskan malam mereka.
Keperitan itu juga jelas terlihat apabila mereka hanya mempunyai beberapa helai pakaian untuk dipakai.
Nor Atikah berkata, ibu bapanya menjenguk mereka empat beradik sekali sekala setelah masing-masing berkahwin lain.
Bagaimanapun, menurutnya, saudara-mara yang tinggal berhampiran selalu mengambil berat, terutama soal makan dan minum mereka.
“Alhamdulillah kami tidak mempunyai masalah untuk makan, cuma keadaan
rumah ini agak teruk dengan atap yang bocor serta tiada kelengkapan
lain.
“Bagaimanapun kami selesa tinggal di rumah ini walaupun terkena panas dan hujan,” katanya
Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
kampung berkenaan, Che Tom Ahmad, 56, berkata, pihaknya mendapatkan
bantuan dari Baitulmal negeri untuk membaik pulih rumah tersebut tahun
lalu namun rumah itu kembali rosak.
“Empat beradik ini sangat perlukan perhatian. Malah, penduduk di
kampung ini selalu membantu mereka namun adalah lebih penting jika
diberikan pendidikan bagi menjamin masa depan mereka.
“Buat masa ini hanya Faizah yang bersekolah, jadi saya harap ada pihak
yang dapat membantu empat beradik ini supaya mereka mendapat kehidupan
yang lebih sempurna selepas ini,” katanya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !