KUALA KEDAH - Senyuman tawa gadis periang, Zunita Aziz, 26, kini hanya
tinggal kenangan setelah dia terlantar sakit akibat penyakit saraf di
rumahnya di Taman Sri Putra, dekat sini.
Menurut kakaknya, Zaeza Aziz, 33, anak bongsu dari enam beradik
berkenaan hanya mampu terbaring lesu di katil dengan saluran tiub tidak
lekang dari tubuh.
“Lima tahun lalu, adik yang mesra dengan panggilan Mak Su akan ketawa
setiap kali menonton televisyen. Malah, kami kerap bergurau senda
bersamanya.
“Sebelum ini, dia masih mampu duduk dan makan melalui mulut. Namun, Mak
Su hanya terlantar di katil tidak mampu bergerak ataupun bercakap sejak
kesihatan merosot,” katanya.
Zaeza berkata, adik bongsunya itu dipercayai mewarisi penyakit saraf
genetik seperti arwah ibunya, Bedah Mat dan abang sulung mereka.
Disebabkan itu, katanya, walaupun ayahnya, Aziz Hashim, 78, sudah
berusia, namun dia gigih mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan
mereka sekeluarga.
Katanya, pendapatan suaminya, Zakaria Ahmad, 35, sebagai nelayan hanya
cukup-cukup makan, maka ayahnya bekerja menahan air bot dengan upah RM16
sehari demi menampung keperluan mereka.
Biarpun memiliki masalah jantung, namun Zaeza tetap menjalankan
perniagaan kecil-kecilan di hadapan rumah untuk meringankan beban ayah
dan suaminya.
"Saya terpaksa berhenti berniaga apabila tidak sihat akibat diserang
penyakit gout dan memberi tumpuan sepenuhnya menjaga Zunita," katanya.
Katanya, adiknya turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan.
"Barang keperluan adik mencecah lebih RM1,000 sebulan, seperti 10 tin
susu, lampin pakai buang, kapas dan ubat sapu, namun kami tidak
berkemampuan.
“Saya mengharapkan bantuan terutamanya segi keperluan susunya. Malah,
seandainya Mak Su sudah mampu tersenyum seperti dahulu, ia sudah memadai
bagi saya,” katanya.
Tambahnya, dia cuba menunaikan amanah arwah ibunya yang meninggal dunia
pada 2007 akibat penyakit sama, iaitu menjaga adik sebaik mungkin.
*** Bagi mereka yang ingin meringankan beban penderitaan
keluarga Zunita boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Agro Bank
Zakaria Ahmad (2-00-5071-00011331-1) ataupun menghubungi talian 012-531
3570.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !