OLEH ZULKIFLI SULONG
Ketika PAS memulakan mesyuarat agung tahunan peringkat kawasannya hari ini, kawasan Kota
Baru dijangka menamakan seorang calon selain Datuk Seri Abdul Hadi
Awang bagi menduduki kerusi nombor satu parti itu.Dan, mengikut ramalan
awal, jawatan itu tidak akan dipertandingkan.
Sumber
memberitahu , nama tokoh berkenaan dibincangkan sejak sekian lama
sebagai calon alternatif bagi menyelesaikan kemelut dalaman PAS.
Mesyuarat hari ini akan menentukan sama ada calon itu diterima semua perwakilan atau tidak.
Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika
dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan hal tersebut kepada perwakilan
dalam mesyuarat itu nanti.
Katanya, PAS Kota Baru berazam
menjadi pelopor dan membentuk pemikiran ahli PAS di seluruh negara
menjelang Muktamar PAS ke-61 pada Jun depan.
Mesyuarat agung
ini katanya akan memberikan hak sepenuhnya kepada perwakilan menentukan
calon kepimpinan PAS di masa depan, termasuk bagi kedudukan presiden.
Dalam pertemuan beliau dengan semua ketua dan setiausaha cawangan di
Kota Baru minggu lalu,
beliau meminta mereka melaksanakan hak menentukan
pucuk kepimpinan parti di semua peringkat.
"Biarlah semua
jawatan dipertandingkan. Ia bagus untuk memberikan hak sepenuhnya
kepada ahli menentukan siapa pilihan mereka. Menang tanpa bertanding
setiap masa ini ada negatifnya," kata Rahim.
Khabar angin menyatakan PAS Kota Baru akan mencalonkan tokoh selain Hadi sebagai presiden bertiup sejak sekian lama.
Rahim sendiri sebelum ini pernah mencadangkan nama Naib Presiden PAS
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi
menyatukan kembali PAS.
Beliau yakin Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yakin tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Hadi buat masa ini.
Sejak memangku jawatan itu susulan kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002, kedudukan Hadi tidak pernah dicabar.
Manakala bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar pula
berkata, beliau tidak terkejut jika ada kawasan yang mencalonkan tokoh
lain untuk jawatan kepimpinan tertinggi PAS, termasuk jawatan presiden,
memandangkan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.
Mesyuarat
agung PAS kawasan Kota Baru buat pertama kalinya akan diadakan di Dewan
Zulkefli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan, tempat di mana bekas
Mursyidul Am Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan kuliah
Jumaatnya saban minggu sebelum ini.
"Biasanya dewan ini untuk
kuliah sahaja. Kami pilih untuk mengadakan mesyuarat di sini buat
pertama kalinya sempena 50 tahun pembinaannya," kata Rahim, bekas ahli
Parlimen Kota Baru.
Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kota
Baru mengadakan mesyuarat agung pada Jumaat, sehari sebelum mesyuarat
agung peringkat kawasan.
Pertandingan untuk merebut kepimpinan juga dijangka berlaku di peringkat kawasan Kota Baru.
Pada masa ini, Rahim merupakan yang dipertua kawasan, sementara Datuk
Takiyudin Hassan (ahli Parlimen Kota Baru), timbalan yang dipertua
manakala Datuk Anual Tan Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan), naib
yang dipertua.
Takiyudin dikatakan akan mencabar Rahim kali
ini untuk jawatan yang dipertua manakala Dr Rosli Ahlani, ketua Pemuda
kawasan sekarang, dikatakan akan bertanding merebut jawatan timbalan
yang dipertua.- See more at: http://www.themalaysianinsider.com
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !