ALOR
SETAR . - Sebanyak 134 kes Macau Scam yang membabitkan kerugian
kira-kira RM4.6 juta dilaporkan di Kedah sepanjang tahun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
Kedah, Supt Chan Teck Paing berkata mangsa membabitkan rakyat tempatan
yang mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan termasuk suri rumah
yang telah terpedaya dengan memindahkan wang ke akaun sindiket yang
beroperasi di negara jiran.
Katanya, sindiket itu juga dikesan mula merekrut
warga tempatan terdiri daripada orang Melayu berbanding warga asing
sebelum ini.
"Melalui siasatan kami dapati
sindiket sudah mula merekrut anak tempatan terdiri kaum Melayu
menyebabkan statistik kes tahun lalu didominasi oleh 93 mangsa orang
Melayu, 34 kaum Cina dan India tujuh kes.
"Mereka
yang menjadi mangsa juga adalah ahli perniagaan, guru, pekerja kewangan
dan suri rumah," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kedah (IPK) Kedah di sini, hari ini.Chan berkata, pihak polis
yang bertindak menahan 63 orang ahli sindiket itu tahun lalu dan empat
lagi pada tahun ini untuk siasatan dan tindakan.
Katanya,
sejak Dis 2017 hingga bulan ini, 18 laporan diterima yang 15
daripadanya belum sempat memindahkan wang ke akaun sindiket selepas
menyedari mereka ditipu atas nasihat pihak bank.
Bagaimanapun
katanya, tiga wanita terdiri daripada dua ahli perniagaan dan seorang
kakitangan hotel kerugian RM32,000 bagi tempoh dua bulan ini kerana
terpedaya dengan sindiket itu.
Katanya, anggota
sindiket juga dikesan menyamar sebagai pegawai kastam di Kompleks
Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam
dengan membuat helah dan mendakwa mangsa memiliki telefon bimbit yang
dibawa masuk tanpa cukai dan perlu membayar sejumlah wang bagi
membolehkan barangan itu dibenarkan masuk ke negara ini.
"Sindiket
juga bijak membuat helah dengan menyambung panggilan mangsa kepada
seorang individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Kedah yang
kemudian mendakwa akaun bank mereka terbabit kes dadah dan selepas itu
proses penipuan berlaku sehingga mangsa ketakutan dan menurut arahan
sindiket demi melepaskan diri," katanya.
Sehubungan
itu orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dengan penipuan
sindiket ini dan menghubungi pihak berwajib jika ragu-ragu dengan
panggilan yang diterima. - BERNAMA
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !