Oleh Aina Wafi Ab Kadir
Hendak jadi negara 20 teratas dalam pembangunan ekonomi, kemajuan
sosial dan inovasi bagaimana kalau buku masih disekat-sekat? Itukah yang
dinamakan sebagai kemajuan sosial?
Empat hari sebelum masuk ke tahun 2018, Kementerian Dalam Negeri
(KDN) masih sibuk mengharamkan 2 buah buku. Tahun ini saja, sudah hampir
60 buah buku diwartakan haram sejak Mac hingga Disember. Alasannya –
kandungan buku yang MUNGKIN mengganggu ketenteraman awam, MUNGKIN
menggemparkan pemikiran orang ramai, MUNGKIN berlawanan dengan mana-mana
undang-undang dan MUNGKIN memudaratkan kemoralan. MUNGKIN, tuan-tuan,
MUNGKIN.
Awam yang mana? Ruang awam yang mana sedang gempar berhamuk pasca
pembacaan buku-buku yang sudah beribu diharamkan ini? Berapa ramai dan
berpa peratusan masyarakat Malaysia yang terkesan dengan buku-buku
tersebut? Apakah bentuk tindakan dan aktiviti pasca pembacaan buku-buku
tersebut?
Takkanlah kita cuma menerima laporan dari mana-mana individu yang
melapor kemudian membaca ala kadar dan dengan pemahaman ala kadar itulah
ia diwartakan haram? Busuk-busuk, dapatan kajian harus ada sebelum
menjatuhkan halal haram sesuatu buku. Penatlah para akademia
menggariskan metod-metod pensabitan hukum tetapi prosesnya tidak
ditekuni dan diteliti.
Aku masih ingat ketika salah seorang ahli panel jemputan Buku Jalanan
UIA dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Zaharanum menyatakan –
kalau sesebuah karya yang benar-benar kreatif, ia takkan dapat
dikenalpasti secara jelas sindiran dan kritikannya. Jadi, mengikut
beliau seorang penulis itu harus bijak menyembunyikan sindirannya. Agar
nanti buku mereka tidak boleh mudah-mudah diharamkan.
Siapa pula yang harus menulis berkias-kias ini? Mengapa kita –
rakyat, penulis dan pembaca harus mengikut acuan kreatif dari badan
kerajaan? Mengapa kita tidak diizin untuk menarikan pandangan dan
tulisan semahu kita sendiri? Negara apa yang sampai bentuk tulisan pun
hendak ditentu dan dipetakkan kerajaan?
Apa sajalah hak kita ini sebagai penulis? Apakah semua penulis harus
memaksa diri menjadi kreatif dan mengias-ngiaskan tulisannya untuk
mengelakkan tindakan kerajaan?
Ruang besar mana sajalah yang boleh dinikmati pembaca untuk menikmati
buah-buah fikir dari sesebuah buku? Mengapa hujah-hujah seperti –
masyarakat kita belum berilmu untuk membaca dan menapis bahan bacaan
mereka ini tenang-tenang saja dijadikan balas bagi penulis seperti aku
yang mengharapkan kebebasan berkarya dan kebebasan membaca? Sampai bila
masyarakat akan dikatakan tidak pandai menyaring buku? Apa pula
inisiatif kerajaan untuk memandaikan masyarakat dalam hal menimbang baik
buruk buku dan pembacaan?
Kita ini bukan menulis hal-hal menyumpah orang. Kita menulis kritikan
terhadap sistem-sistem.
Apakah sistem dan negara ini tidak lagi boleh
dikritik? Kita tidak pernah mencarutkan sesiapa jualah. Hatta
orang-orang bersut dan yang asyik tidur di kerusi empuk jenama Parlimen
pun tidak sesekali kita carutkan.
Kita ini menulis tidak juga dengan kaki. Kita bangun jam 3.00, 4.00
pagi menumpahkan idea, menambah materi pembacaan yang berganda dari
kebiasaan, bahkan ada yang sampai turun ke padang – menyaksikan sendiri
hal-hal yang hendak ditulisnya.
Nah, berapa pula nilai wang, tenaga dan masa seseorang penulis yang
sudah tercurahkan? Apakah ia senang-senang boleh diwarta haram tanpa
memanggil para penulis menghadap KDN dan saling berbahas? Atau KDN hanya
mahu memanggil penulis setelah buku tersebut diharamkan terlebih
dahulu?
Nasi sudah jadi bubur, kan tuan-tuan? Terlajak perahu boleh diundur.
Terlajak haram, takkan KDN sudi hendak menghalalkannya semula?
Pengharaman bukan solusi
Apa yang hendak disorok KDN sebenarnya ketika mengharamkan buku-buku
yang mengkritik keadaan politik, ekonomi, sosial dan agama negara? Mahu
menyembunyikan realiti dari pengetahuan rakyat yang membaca? Lalu,
rakyat seperti kami ini layak mendapat tahu hal-hal seperti apa?
Guatemala memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis untuk mengiktiraf
negara haram Israel? Atau hal tanah Felda yang hilang? Atau berita
suam-suam kuku Awal Ashaari berhenti mengacarakan rancangan Melodi?
Kerajaan tak mahu rakyat jadi pandaikah? Membaca dan mendapat sisi
baharu tentang keadaan semasa masyarakat? Bukankah setelah membaca,
rakyat juga harus bergerak membaikkan realiti negara yang makin tenat
ini?
Kerajaan takut para pembaca keliru dengan tulisan-tulisan tersebut?
Takut dengan ancaman Liberalisme, Syiah dan fahaman sesat ya? Maka, di
mana para penulis kerajaan yang sepatutnya membalas kekeliruan dan
mempromosi tulisan jawapan tersebut? Mengapa idea tidak dibalas idea?
Atau kerajaan sebenarnya ketandusan bijak pandai untuk membalas
kenyataan-kenyataan yang katanya mengelirukan itu?
Tahukah kerajaan (1), buku-buku yang diharamkan anda tadi telah pun
dicetak beratus-ratus, beribu-ribu bahkan ada yang sudah masuk cetakan
kelima? Apa pula inisiatif kerajaan untuk “menghilangkan kekeliruan”
mereka yang sudah membaca buku-buku ini? Bukankah kerja mengharamkan
buku hanya untuk mereka yang belum membaca? Tetapi membalas tulisan,
menyatakan kesilapan dan mengkritik semula buku-buku tersebut barulah
namanya menghentikan kekeliruan pembaca, kan?
“Kekeliruan” yang kerajaan selalu risau dan gundah-gulanakan ini tak
ikhlas pun sebenarnya. Nak mudah saja dalam buat kerja. Haram yang itu,
haram yang ini! Tahun bila kerajaan akan jelaskan secara terperinci
dalam laporan yang terbuka untuk kami para penulis dan pembaca
mengetahui dan meneliti sendiri teks mana yang memeningkan kepala orang
awam? Baris mana yang menghina agama? Perkataan mana yang menjurus
kepada idea liberal, syiah dan sesat ini? Nak tunggu sampai 2050 baru
budaya ilmu ini akan dicetus dan disemarakkan kerajaan?
Tahukah kerajaan (2), buku-buku yang anda haramkan itu sudah dicetak
bertahun-tahun sebelum anda mengharamkannya? Kalau hendak dikira pembaca
buku tersebut sesat, maka sudah terlambatlah untuk Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (Jakim) menarik mereka dari bergerak ke arah neraka.
Tetapi jangan lupa, mari sama-sama kita tanyakan kepada Jakim atau
KDN, di manakah kesan jelas hasil dari pembacaan buku-buku haram
tersebut? Berapa peratuskah orang Muslim yang sekarang menukar pegangan
aqidah? Atau berapakah jumlah penyokong gerakan liberalisme hasil
daripada menelaah buku-buku sebegini?
Suara penulis suara keramat
Aku seorang penulis muda. Baru setahun melalui hari-hari ini sebagai
seorang penulis. Setiap penulis harus punya satu sikap iaitu
mempertahankan tulisan mereka. Di bahu kami ini sendiri letaknya
tanggungjawab. Tanggungjawab membawa wacana, mengetengahkan wacana yang
seharusnya menjadi keperluan, mencelikkan mata orang sekeliling akan
hal-hal yang kami rasakan penting dan sedia menahan diri dari caci maki
“kau sesat”-“kau tersasar”-“kau bukan Islamis sebenar” yang selalu
dilontarkan orang awam yang membaca.
Kalau hari ini buku para penulis tersohor dan berpengalaman
diharamkan tanpa apa-apa tentangan dari kumpulan penulis dan kumpulan
pembaca, apa pula nasib penulis kecil seperti di tahun-tahun mendatang?
Bahan bacaan apa sajalah yang dapat dinikmati pembaca jika sekarang
kalian membisu dan tidak mengambil endah akan hal ini?
Apa jua bentuk ketidaksetujuan, ia harus dinyatakan, dibincang dan
dibalas. Buku memang boleh diharamkan. Tetapi idea, cara pandang dan
pengaruh seseorang penulis tidak akan lenyap dengan sekatan dan
pengharaman tadi. Nasihat aku kepada kerajaan supaya dicarilah barang
yang menjadi akar. Bukan asyik dan leka memotong mencantas dahan yang
esoknya bisa tumbuh dan naik lagi.
Aina Wafi Ab Kadir adalah penulis buku Kisah-kisah Melawan Dalam Al Quran terbitan Thukul Cetak
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !