Oleh Johari Yap
PERNAHKAH bertanya apa tujuan kita hidup di dunia ini?
Atau adakah sekadar menjalani kehidupan, sekadar wujud, tanpa
memikirkan tujuan sebenar hidup kita?
Mengapa kita dilahirkan di dunia ini kemudian mati? Apa pula yang
berlaku selepas kematian? Tanpa memahami tujuan kehidupan di dunia ini,
rasanya hidup ini menjadi rapuh dan hambar kerana tiada motivasi untuk
menjalani hidup dengan lebih baik.
Menurut Ken Mogi, seorang penulis Jepun yang juga merupakan saintis
otak, dalam bukunya yang bertajuk The Little Book of Ikigai: The
Essential Japanese Way to Finding Your Purpose in Life, Ikigai bermaksud
“tujuan hidup”.
Menurutnya lagi, setiap insan mempunyai Ikigai dan mencari tujuan hidup merupakan salah satu objektif kehidupan manusia.
Adakah kesibukan kita mencari sesuap nasi untuk keluarga, bekerja siang
malam untuk membayar pinjaman rumah dan kereta, menyebabkan kita tidak
gembira yang akhirnya boleh memendekkan umur kita?
Menurut Hector Garcia dan Fransesc Miralles dalam buku mereka yang
bertajuk, IKIGAI: The Japanese Secret to a Long and Happy Life, Ikigai
adalah “kegembiraan dengan menjadi sentiasa sibuk”. Apakah yang mereka
maksudkan?
Mereka telah melawat dan menemu ramah penduduk di pulau Okinawa, Jepun
di mana 25 peratus daripada setiap 100,000 penduduknya berusia lebih 100
tahun. Buku tersebut mengongsi enam rahsia panjang umur yang telah
dikongsi dengan penulis dalam temu ramah tersebut.
Pertama, kekal aktif dan jangan bersara. Terus lakukan apa yang disukai
walaupun sudah berhenti daripada apa sahaja pekerjaan yang dilakukan
untuk memperoleh pendapatan. Ini akan memberi kita tujuan untuk
meneruskan hidup.
Kedua, lakukan segalanya dengan perlahan tetapi berterusan. Ada pepatah
yang mengatakan jika perlahan sekalipun, anda akan tetap pergi jauh
jika terus berjalan.
Ketiga, makan makanan yang berkhasiat dan berhenti sebelum kenyang.
Petua ini selari dengan firman ALLAH yang bermaksud, “Makan dan
minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan.
Sesungguhnya ALLAH tidak
menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf, ayat 31)
Keempat, sentiasa berdamping dengan sahabat yang baik. Ini juga seiring
dengan ajaran Islam.
Firman ALLAH dalam Surah al-Kahfi ayat 28 yang
bermaksud, “Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang
yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang
mengharapkan keredaan ALLAH semata-mata.”
Kelima, sentiasa senyum dan ceria. Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh
al-Lahw wa al-Tarfih mengatakan bahawa, “Ketawa merupakan antara
keistimewaan manusia. Binatang tidak boleh ketawa kerana ketawa datang
hasil satu bentuk kefahaman dan pengertian terhadap satu ucapan yang
didengarinya atau satu kejadian yang disaksikan. Rentetan itu dia
ketawa.”
Keenam, sentiasa mengucapkan terima kasih (bersyukur). Firman ALLAH,
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika
kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi
sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah
keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)
Sebagai seorang Muslim, salah satu cara menzahirkan kesyukuran kita
secara lisan adalah dengan mengucapkan “Alhamdulillah”. Biasanya orang
bersyukur ketika mendapat nikmat dan apabila terlepas daripada
kesusahan. Tetapi sebenarnya, apa keadaan sekalipun, kita seharusnya
sentiasa bersyukur kerana ALLAH masih memberi peluang meneruskan
kehidupan.
Apabila kita bangun daripada tidur, kita bersyukur kerana masih
mempunyai keupayaan untuk bergerak. Tanpa izin ALLAH, tidak mungkin
anggota kita dapat berfungsi. Begitu juga keupayaan melakukan rutin
harian seperti belajar atau bekerja, semuanya kurniaan ALLAH SWT yang
perlu disyukuri.
Kita wajib melahirkan syukur atas segala nikmat yang diterima. Dugaan
hidup juga sebenarnya baik sekiranya ia menjadikan kita lebih dekat
dengan ALLAH. Segala ketentuan ALLAH itu terbaik untuk kita walaupun
kita tidak mampu memahami hikmah di sebaliknya.
Memahami tujuan sebenar kehidupan dan kemampuan untuk bersyukur berkait
rapat dengan keupayaan menyemai kegembiraan dan ketenangan dalam hidup
yang merupakan ramuan penting untuk kesihatan rohani juga jasmani.
Semoga kita diberi kegembiraan dan umur yang panjang lagi berkat agar
dapat menggunakan waktu yang ditentukan untuk kita berada di dunia ini
dengan sebaiknya.
* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !