BUKIT MERTAJAM - Bagaikan luka lama berdarah kembali. Itu yang boleh digambarkan nasib penduduk di Seberang Perai, di sini apabila rumah mereka dinaiki air selepas kejadian sama berlaku dua bulan lalu.
Kejadian yang berlaku awal pagi semalam bagaimanapun tidak seteruk kejadian banjir pada November tahun lalu, namun ia turut memberi kesan dan kerugian kepada penduduk terlibat.
Difahamkan keadaan hujan yang turun tanpa henti sepanjang malam kelmarin mengakibatkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dan memasuki beberapa rumah penduduk di sini.
Mengikut rekod dikeluarkan polis, sebanyak 15 rumah di Kampung Permatang Rawa terlibat banjir dalam kejadian pagi semalam.
Turut terkesan 10 rumah di Kampung Padang Lalang dan lima rumah di Taman Usaha, di sini.
Tinjauan Sinar Harian di kawasan Kampung Permatang Rawa di sini mendapati, sehingga jam 3 petang semalam masih terdapat rumah yang masih dipenuhi air walaupun hujan beransur berhenti.
Masalah berlarutan sudah lama
Penduduk, Ahmad Elias, 77, berkata, air mula naik di dalam rumahnya kira-kira jam 3 pagi semalam selepas hujan berterusan dari petang Khamis.Menurutnya, penduduk di sini sudah lali dengan banjir kerana masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan mengakibatkan banyak kerosakan serta kerugian yang terpaksa ditanggung.
"Memang dah jangka banjir akan datang lagi selepas tengok hujan tak berhenti.
"Kami dah letih berdepan kejadian ini. Pak cik pun dah tua, tak larat nak angkat semua barang dan perabot. Akhirnya habis semua rosak ditenggelami air," katanya.
Seorang lagi penduduk, Rogayah Abdul Hamid, 49, berkata, tahun lalu sahaja empat kali kejadian banjir berlaku di kampungnya dan pembukaan tahun baharu 2018 penduduk terpaksa berdepan musibah sama.
Ditanya mengenai kerosakan harta benda yang dialami, Rogayah berkata, perabot rumahnya banyak yang rosak akibat banjir pada November tahun lalu dan dia belum lagi menggantikan yang baharu.
"Penat kemas rumah disebabkan banjir yang lepas pun tak hilang lagi, sekarang terpaksa berdepan ujian sama sekali lagi.
"Memang kali ini tak seteruk tahun lalu tapi sampai bila kami nak hadap banjir setiap kali hujan lebat. Saya harap pihak berkaitan dapat lakukan sesuatu agar ia tak berulang lagi," katanya.
Rumah berdekatan sungai
Sementara itu, Azmi Ahmad, 58 berkata, keluarganya tidak dapat dapat tidur lena semalaman selepas mendapati keadaan hujan yang tidak berhenti.Menurutnya, kedudukan rumah mereka berhampiran Sungai Permatang Rawa itu menyebabkan air cepat naik dan memasuki kawasan rumah.
Azmi yang tinggal di kampung berkenaan sejak kecil lagi turut bimbang sekiranya binatang berbisa seperti lipan dan ular berkeliaran di kawasan rumah akibat banjir.
"Tak boleh nak kata apa benda dah jadi. Ada perabot baru beli pun dah rosak ditenggelami air.
"Saya harap Jabatan Pengairan dan Saliran dan kerajaan dapat pantau sungai berhampiran kampung kami. Lakukanlah sesuatu sebab kami dah penat tanggung rugi nak bersihkan rumah setiap kali air naik," katanya.
Difahamkan, hanya satu pusat pemindahan dibuka di daerah Seberang Perai Tengah iaitu di Sekolah Agama Kafa Nahdatul Islah, Kubang Semang yang menempatkan lima mangsa banjir.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !